bisnes

Agih pendapatan ASM 2 Wawasan 5.00 sen seunit

Oleh Sofyan Rizal Ishak

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit untuk dana harga tetap Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2019.

ASM 2 Wawasan yang dahulu dikenali sebagai Amanah Saham Wawasan 2020 akan membayar RM1.06 bilion sebagai pengagihan pendapatan kepada 883,049 pemegang unit yang memiliki 21.6 bilion unit.

Dana itu mencatatkan pendapatan bersih RM760 juta bagi 11 bulan pertama tahun kewangannya setakat 31 Julai lalu di sebalik prestasi pasaran saham tempatan yang agak lemah kesan daripada faktor luaran dan global.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, pihaknya gembira kearana masih dapat memberikan pulangan kompetitif secara konsisten kepada pemegang unit meskipun berhadapan dengan pasaran semasa yang mencabar sepanjang tahun kewangan dana ini.

“Untuk menghadapi cabaran pasaran kewangan domestik dan global yang sangat tidak menentu, PNB fokus kepada pengukuhan daya tahan syarikat dan kekal komited kepada mandat kami bagi meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera serta rakyat Malaysia melalui pelaburan yang kukuh di mana kami yakin akan memastikan pulangan mapan untuk jangka panjang,” katanya pada kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Setakat 31 Julai 2019, ASM 2 Wawasan telah menjana pendapatan kasar RM979.5 juta dengan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM231.05 juta atau 24 peratus.

Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat tersenarai dan tidak tersenarai berjumlah RM569.48 juta atau 58 peratus daripada jumlah pendapatan kasar manakala baki RM178.98 juta atau 18 peratus daripada pelaburan dalam sukuk/deposit tetap Islamik serta pendapatan dari instrumen berpendapatan tetap lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana terbabit dengan agihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit serta dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2019.

Semua urus niaga bagi ASM 2 Wawasan telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 29 Ogos hingga 2 September 2019 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau aplikasi myASNB, atau di mana-mana ejen ASNB atau cawangan ASNB di seluruh negara apabila urus niaga kembali beroperasi pada 3 September 2019.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:28pm
d