bisnes

Jualan naik 30%

Oleh Nabil Basaruddin

POWER Root Berhad, pengilang dan pengedar produk minuman tempatan yakin menjadi jenama nombor satu dalam segmennya selepas pelancaran rangkaian produk Warung dari Alicafe dan Alitea.

Warung didatangkan dalam lima pilihan bungkusan iaitu Warung Kopi-O, Warung Klasik, Warung Kopi Putih, Warung Kopi Putih Kaw dan Warung Teh Tarik.

Pengerusinya, Datuk Afifuddin Abdul Kadir berkata, sejak berada di pasaran tempatan, produk minuman itu mendapat sambutan menggalakan dalam kalangan pengguna di negara ini.

Beliau berkata, rangkaian minuman yang ditawarkan Warung tidak mengandungi herba Tongkat Ali atau Ginseng, tetapi memberi kelainan berbanding produk sedia ada dikeluarkan syarikat itu.

“Berdasarkan kempen dijalankan Mac lalu, Power Root terus menggungguli pasaran tempatan dengan kenaikan jualan melebihi 30 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

“Jadi, pengenalan Warung tepat pada masanya yang dapat membantu mengekalkan jenama ini terus mendapat sambutan dan kekal sebagai nombor satu di hati rakyat Malaysia,” katanya selepas majlis pelancaran rangkaian minuman Warung di sini, semalam.

Pada majlis sama, Power Root mengumumkan pelantikan Pengerusi Bersama baharu, Tengku Datuk Putra Alhaj serta pembaharuan kontrak Alif Satar sebagai Duta Alicafe bagi tempoh dua tahun.

Produk Warung menggunakan konsep Macam Dolu-Dolu bertujuan mengajak pengguna mengimbas kenangan menikmati minuman dalam suasana santai seperti di warung, satu ketika dahulu.

Diminta mengulas mengenai prestasi Power Root, Afifuddin berkata, syarikat optimis mencapai peningkatan jualan sebanyak 20 peratus tahun ini berbanding RM338 juta pada tahun lalu.

Menurutnya, sasaran jualan itu bersandarkan kepada pertumbuhan permintaan rangkaian produk Alicafe dan Alitea yang mendapat sambutan luar biasa dalam pasaran tempatan dan luar negara.

“Power Root mempunyai kehadiran meluas di 44 negara di seluruh dunia khususnya di Eropah, Asia Barat, Afrika, China dan Asia Tenggara serta di Malaysia membuktikan ia begitu unik dan menjadi kegemaran ramai,” katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 7:31am
d