bisnes

Airbus suntik RM505j

Oleh Nabil Basaruddin

MALAYSIA terus menjadi destinasi pelaburan menarik bagi sektor aeroangkasa dunia apabila pengeluar pesawat terkemuka dari Eropah, Airbus melabur sebanyak AS$120 juta (RM505 juta).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Guillaume Faury berkata, peruntukan pelaburan terbabit akan digunakan untuk tiga inisatif baharu bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri aeroangkasa di negara ini.

Katanya, inisiatif itu termasuklah pengembangan kemudahan baik pulih pesawat milik penuhnya, Sepang Aircraft Engineering (SAE), penubuhan Inisiatif Digital Airbus Malaysia serta peningkatan penyertaan dalam Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC).

“Melalui inisiatif ini, ia dapat membantu memperkukuhkan kedudukan Airbus di Malaysia yang menjadi antara pasaran terpenting bagi syarikat ini.

“Airbus adalah rakan usaha sama terbesar Malaysia dalam industri aeroangkasa dengan perniagaan penyumberan dan perkhidmatan dalam negara ini bernilai lebih AS$400 juta setiap tahun bagi ekonomi tempatan.

“Malah, kehadiran syarikat ini turut memberi peluang pekerjaan kepada 4,000 rakyat Malaysia dalam sektor penerbangan,” katanya pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) antara Airbus dan AirAsia Group di sini.

Faury berkata, pengembangan SAE membabitkan pembinaan hangar yang mampu memuatkan sehingga empat pesawat lorong tunggal atau dua pesawat badan lebar untuk kerja pemeriksaan berat.

Selain itu, katanya, ia turut merangkumi pembinaan ruangan tambahan mengecat dan bengkel baik pulih komponen baharu.

“Di bawah Inisiatif Digital Airbus Malaysia, Airbus akan bekerjasama dengan pemegang berkepentingan tempatan untuk membangunkan pelan induk, memilih dan melaksanakan projek.

“Usaha ini adalah bagi mempertingkatkan daya saing sektor aeroangkasa Malaysia melalui aplikasi teknologi digital terkini,” katanya.

Tambahnya, sebagai anggota pengasas AMIC, pemeteraian perjanjian MOA itu menyaksikan Airbus dilantik sebagai Pengarah Teknikal Inovasi bagi menyokong pembangunan AMIC.

Ia antara lain, adalah untuk mempertingkatkan penjanaan dana bagi pelaksanaan program penyelidikan secara usaha sama.

“Usaha ini juga merangkumi penyelidikan AMIC dalam potensi penghasilan bahan api bio alternatif dan lestari untuk industri penerbangan di Malaysia,” katanya.

Airbus turut mengendalikan Pusat Khidmat Pelanggan di Sepang yang menawarkan kepakaran dalam kerja membaik pulih komponen pesawat yang rumit, baik pulih rekaan struktur dan operasi Penyelenggaraan-Jam-Penerbangan (FHS).

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 7:40am
d