bisnes

AirAsia, AirAsia X, MA Sepang kena penalti

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) iaitu anak syarikat kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketiga-tiga pihak ini mengesahkan bahawa mereka menerima surat daripada Suruhanjaya berhubung pengenaan penalti kewangan terbabit pada Jumaat lalu.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, penalti kewangan kepada AirAsia dan AirAsia X dikenakan kerana kedua-dua syarikat itu tidak mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dengan mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian yang berasingan daripada tambang asas.

Menurutnya, Suruhanjaya mendapati bahawa AirAsia dan AirAsia X tidak mematuhi subperenggan 3 (2) MACPC yang memperuntukkan syarikat penerbangan untuk menzahirkan sepenuhnya harga muktamad tambang penerbangan.

“Setelah penilaian menyeluruh dan mengambil kira representasi bertulis oleh kedua-dua syarikat penerbangan itu, Suruhanjaya memutuskan untuk mengenakan penalti sebanyak RM200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X bagi ketidakpatuhan pertama bagi tempoh mulai 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, MA Sepang iaitu syarikat yang mengendalikan operasi di kedua-dua terminal Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA dan klia2) pula dikenakan penalti kewangan kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh Mavcom pada suku pertama 2019.

Mengikut proses bagi penentuan ketidakpatuhan, Mavcom mendapati MA Sepang gagal untuk memenuhi beberapa keperluan di dalam Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang) bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

“Setelah mengambil kira representasi bertulis daripada MA Sepang serta faktor dan sebab yang dikemukakan oleh pihak MA Sepang untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan itu, Suruhanjaya telah mengenakan penalti sebanyak RM1,179,889 kepada MA Sepang,” katanya, semalam.

Nungsari berkata, trafik udara di Malaysia pada hari ini merekodkan lebih daripada 100 juta penumpang setahun.

Disiarkan pada: September 11, 2019 @ 6:30am
d