bisnes

RM20j perluas capaian aplikasi LifeMed

Oleh hmdigital

CYBERJAYA: Newave Health Sdn Bhd, syarikat usahasama antara N2W Corporation (N2W Corp) dan SMARTMED Global Ltd (SMARTMED) memperuntukkan perbelanjaan modal RM20 juta bagi mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif N2W Corp, Rizatuddin Ramli berkata, peruntukan bagi tempoh dua hingga tiga tahun itu adalah sebahagian daripada rangka operasi bagi meluaskan capaian aplikasi kesihatan digital yang diperkenalkan iaitu LifeMed.

“Hasil daripada pelaburan ini, kami menyasarkan penggunaan LifeMed akan dikembangkan menerusi rangkaian hospital swasta KPJ Bhd di Malaysia dalam tempoh setahun atau dua tahun ini,” katanya selepas pelancaran LifeMed dan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara N2W Corp-SMARTMED di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden yang juga Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi SMARTMED, Zaki Sayed Kaiser Husein dan Ketua Pegawai Eksekutif SMARTMED, Simon Eyre.

N2W Corp adalah anak syarikat JCorp manakala SMARTMED pula syarikat pembangunan perisian berpangkalan di London khusus dalam penyelesaian kesihatan digital.

Mengulas lanjut, Rizatuddin berkata, Newave Health memiliki pelan pengembangan jangka panjang untuk meluaskan operasi dan pembangunan perniagaan LifeMed.

“Dalam tempoh dua tahun, kami akan menggunakan rangkaian KPJ untuk berkembang tidak hanya di Malaysia malah beberapa negara termasuk Indonesia dan Bangladesh.

“Selain hospital swasta, kami juga merancang menjadikan aplikasi LifeMed digunakan hospital kerajaan di seluruh negara,” katanya.

LifeMed adalah aplikasi maya menggunakan konsep Diagnostik Pemantauan dan Kawalan Kesihatan (RHDMS) yang membolehkan pesakit menguruskan keadaan penyakit menerusi penyelesaian kesihatan digital.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 6:49am
d