bisnes

GST tidak akan kembali

Oleh Nabil Basaruddin

KERAJAAN menegaskan tidak akan memperkenalkan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam sistem percukaian negara seperti yang dicadangkan oleh beberapa pakar ekonomi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan pada Jun 2018 menghapuskan GST dan memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September tahun lalu.

“Saya tidak mendapat sebarang cadangan mahupun mendengar dari mana-mana pakar ekonomi supaya membawa kembali GST ke dalam sistem percukaian Malaysia.

“Kerajaan sudah hapuskan GST pada Jun tahun lalu dan kita tiada sebarang perancangan untuk beralih kepada sistem cukai itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran dompet elektronik 1Pay dan platform e-dagang Oneshop oleh 1 Utama di Petaling Jaya, hari ini.

Baru-baru ini, beberapa pakar ekonomi tempatan mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan kembali GST bagi menggantikan SST pada Belanjawan 2020 dalam meningkatkan pendapatan negara.

Malah, pakar ekonomi terbabit turut menggesa kerajaan mencari alternatif pendapatan tambahan bagi menampung jumlah kutipan SST yang hanya RM22 bilion berbanding RM44 bilion di bawah GST.

Sekiranya ia tidak dilaksanakan kembali, kerajaan berkemungkinan akan memberi tekanan kepada rakyat dengan lebih banyak cukai yang akan menimbulkan rasa marah dalam kalangan orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 4:44pm
    d