bisnes

Digi mahu bekerjasama bangun teknologi 5G

Oleh Nabil Basaruddin

SHAH ALAM: Telenor ASA (Telenor) menerusi anak syarikatnya, Digi.Com Bhd akan terus komited untuk bekerjasama dengan peserta industri telekomunikasi yang lain khususnya dalam membangunkan teknologi 5G.

Naib Presiden Kanan Rakan Kerjasama Asia dan Hubungan Luar Kumpulan Telenor/Pengerusi Digi, Hakon Bruaset Kjol berkata, meskipun usaha penggabungan antara Telenor dan Axiata Group Berhad (Axiata) tidak mencapai kejayaan, ia tidak menghalang Digi untuk memperkukuhkan kehadirannya.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi itu akan terus bekerja keras dan berusaha untuk mendepani cabaran dan peluang yang muncul seiring dengan teknologi 5G.

“Kegagalan dalam penggabungan mega ini tidak menghalang kami untuk terus berkembang kerana dalam ekosistem telekomunikasi ini masih banyak perkara boleh dilakukan dan memanfaatkan Malaysia.

“Mengenai perbincangan mengenai penggabungan itu, kami sudahpun melaksanakan apa yang perlu dilakukan.

“Apa yang penting, kini terdapat banyak perkara yang akan berlaku dalam ekosistem dan ia memerlukan kerjasama dalam industri untuk memberi manfaat lebih besar kepada negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Forum Kemampanan Pemacu Perniagaan, semalam.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 6:45am
d