bisnes

Teroka ruang mudah alih

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: CJ WOW SHOP, rangkaian beli-belah serba inovatif dari rumah bakal memacu pertumbuhan transaksi beli-belah mudah alihnya sebagai usaha untuk mengukuhkan konsep multi platform jenama terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MP CJ ENM Sdn Bhd, Kim Yang Hyun berkata, pihaknya bersedia untuk meneroka ruang mudah alih yang mempunyai potensi besar dan belum diterokai CJ WOW SHOP.

Beliau berkata, platform beli-belah itu juga dalam landasan untuk mencapai satu juta muat turun aplikasi mudah alih dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Kami juga mengadakan kempen bagi menggalakkan penggunaan aplikasi terbabit, selain menawarkan pengalaman beli-belah yang mudah dan memuaskan kepada pelanggan.

“Dalam beberapa tahun ini, kami berjaya mencapai kehadiran yang luas di kaca televisyen, seterusnya membolehkan CJ WOW SHOP menguasai segmen beli-belah dari rumah sebagai antara saluran televisyen yang mendapat tontonan tertinggi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Yang Hyun berkata, pihaknya menyedari pentingnya untuk mencapai status rangkaian multi platform yang kukuh dan menyuntik pelaburan serta berusaha bagi menaik taraf saluran dalam talian serta mudah alihnya.

Menurutnya, meskipun rakyat Malaysia menggunakan pelbagai peranti termasuk komputer, telefon pintar dan tablet untuk membuat pembelian dalam talian, CJ WOW SHOP menjangkakan perubahan trend yang konsisten dan berterusan ke arah beli-belah secara mudah alih.

“Pada masa ini, televisyen dan pusat panggilan menyumbang kepada purata transaksi harian CJ WOW SHOP sebanyak 55 peratus manakala selebihnya terdiri daripada sumber dalam talian serta mudah alih.

“Sehingga Ogos 2019, jenama ini berjaya mencapai peningkatan muat turun aplikasi mudah alihnya sebanyak 150 peratus daripada 12 bulan yang lalu,” katanya.

Sementara itu, CJ WOW SHOP baru-baru ini melancarkan ‘WOW Je!’, kempen jualan dan perolehan untuk mempelbagaikan asas pelanggannya.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 6:50am
d