bisnes

Perancis bantu promosi produk sawit

Oleh BERNAMA

KERAJAAN Perancis akan membantu Malaysia mempromosikan produk minyak sawit mampan dengan menyediakan hasil dapatan saintifik berkaitan kepada rakyatnya.

Menteri Negara Perancis kepada Menteri Ekonomi dan Kewangan yang bertanggungjawab terhadap inovasi dan Industri 4.0, Agnes Pannier-Runacher berkata, minyak sawit atau produk lain dihasilkan menerusi usaha yang boleh dipercayai dan mampan serta menepati piawaian antarabangsa sewajarnya menerima sokongan saksama daripada pengguna.

“Kami percaya kaedah mampan menghasilkan minyak sawit merupakan aliran positif di Malaysia dan kami menyokong sebarang usaha melangkah maju.

“Kami memerlukan pendekatan saintifik memandangkan masyarakat (di Perancis kini) lebih mengambil berat mengenai produk diambil terutama dari segi kemampanannya. Kadangkala mereka keliru antara yang mampan dan sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Inovatif Pintar dan Pusat Khidmat Perniagaan Air Liquide di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan Perancis menyekat penggunaan bahan api bio minyak sawit, Pannier-Runacher berkata, langkah itu tidak disasarkan kepada minyak sawit malah bagi penggunaan diesel.

“Pada masa ini, kami mengehadkan jumlah kenderaan menggunakan diesel, dan beberapa pihak berkuasa menyekat kemasukan kenderaan berkuasa diesel ke dalam bandar kami,” katanya.

Awal tahun ini, Dewan Perwakilan Kebangsaan Perancis meluluskan rang undang-undang yang mengatakan minyak sawit ‘bukan bahan api bio’ dan tidak layak memperolehi pengurangan cukai pada 1 Jan, 2020.

Sementara itu, Pannier-Runacher yakin Malaysia dan Perancis berupaya membangunkan banyak produk dalam sektor seperti aeronautik, pertahanan dan kereta, memandangkan Perancis merupakan peneraju Industri 4.0 dalam pembuatan canggih.

“Kerjasama ini termasuk pemindahan teknologi,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjemput pelabur Malaysia melabur di Perancis terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 7:35am
d