bisnes

Jana jualan RM25j

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Bhavani Foods (M) Sdn Bhd, pengeluar produk Uncle Saba’s Poppadoms menyasarkan jualan RM25 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulannya, S R Saba berkata, pihaknya turut bercadang menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh sama.

Menurutnya, produk terbabit semakin mendapat permintaan bukan saja di negara ini malah luar negara.

“Setiap tahun, syarikat merekodkan peningkatan jualan terutama selepas syarikat memperkenalkan snek Uncle Saba’s Poppadoms yang sedia dimakan melalui pelbagai perisa.

“Tahun lalu, kami mencatatkan jualan RM10 juta bagi pasaran Malaysia dan kami merancang mempelbagaikan lagi perisa sedia ada,” katanya.

Pada masa ini, produk Uncle Saba’s Poppadoms sudah berada di lebih 20 negara seluruh dunia.

Saba berkata, pihaknya juga merancang membuka syarikat di Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi meluaskan lagi pasaran produk itu di negara terbabit.

Beliau berkata, snek berkhasiat Uncle Saba’s Poppadoms sesuai dimakan untuk semua peringkat usia kerana ia kaya dengan protein dan fiber serta 100 peratus diperbuat daripada kacang dal premium.

“Malaysia adalah negara pengeluar Uncle Saba’s Poppadoms dan kilang pengeluaran kami di negara ini mampu menampung permintaan dari dalam dan luar negara.

“Malah, kami bangga memperkenalkan produk ini sebagai produk keluaran tempatan dan kami mahu ia dikenali sebagai buatan Malaysia,” katanya.

Produk Uncle Saba’s Oppadoms boleh didapati di semua rangkaian pasar raya di seluruh Malaysia dengan ia didatangkan dalam perisa asli, tomato, cili manis, bar-beku, hot & spicy, sour cream & onion, black pepper san salt & venigar.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 11:00am
d