bisnes

MaGIC anjur simposium kumpul ikon keusahawanan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

PUSAT Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bakal menganjurkan Simposium Keusahawanan Kebangsaan (E-Nation) selama empat hari yang akan menampilkan 40 penceramah tempatan serta antarabangsa.

Simposium berkenaan akan diadakan bermula 30 Oktober hingga 2 November depan bertempat di Kampus MaGIC di Cyberjaya, Selangor dan dijangka akan menghimpunkan lebih 1,500 peserta.

Ia akan menjadi platform persidangan bagi pembuat perubahan untuk mengambil bahagian dalam lapan sesi utama dan perbincangan panel yang menampilkan beberapa ikon antaranya usahawan berjaya, Datin Vivy Sofinas Sofinas Yusof, Penggeraak KRU Studios; Datuk Norman Abdul Halim dan beberapa ikon penting lain.

Peserta akan mendapat akses kepada sesi bimbingan dengan usahawan berpengalaman, penasihat dan pelabur daripada seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar berkata, simposium berkenaan akan memberi fokus kepada enam teras utama antaranya aspek kreatif, inovasi korporat, pendidikan, keusahawanan, dasar dan keusahawanan sosial.

“Ia juga bertitik tolak kepada pelancaran Dasar Keusahawanan Kebangsaan baru-baru ini yang bertujuan untuk mengubah landskap negara menjadi sebuah negara keusahawanan menjelang 2030 kelak.

“Bahagian penting yang perlu diberikan perhatian adalah kaedah untuk memupuk generasi usahawan yang berdaya tahan serta dilengkapi dengan pengetahuan inovasi termasuk mempunyai pemahaman yang mendalam tentang trend teknologi.

“Kita perlu menyebarkan mesej keusahawanan dalam apa cara sekali pun dan apa yang penting adalah simposium ini mengumpulkan individu untuk menghasilkan idea keusahawanan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Simposium berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada 30 Oktober depan.

Persidangan itu adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan meletakkan empat objektif utama antaranya menjadi jambatan kepada pertukaran idea serta menggalakkan kerjasama di dalam rangkaian perniagaan dan memberi pendedahan kepada usahawan baru untuk memberi lebih banyak maklumat serta pengetahuan berhubung industri berkenaan.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 4:44pm
d