bisnes

Huawei masih guna Android

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

PENGGUNA Huawei masih boleh menggunakan aplikasi media sosial seperti biasa melalui platform yang dibangunkan Huawei dikenali sebagai Huawei Mobile Services (HMS).

Bercakap kepada media pada sesi taklimat selepas pelancaran global siri Mate 30 di Munich baru-baru ini, Naib Presiden Perkhidmatan Mudah Alih Pengguna, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Jervis Su berkata, pengguna telefon pintar terbaharu keluaran Huawei kini masih boleh mendapat akses kepada aplikasi yang biasa digunakan melalui HMS.

“Untuk memuat turun aplikasi yang diperlukan, pengguna hanya perlu memuat turun di AppGallery kendalian Huawei.

“Sebagai contoh, aplikasi Facebook atau Whatsapp yang boleh didapati di AppGallery dan hanya perlu dimuat turun dan boleh digunakan seperti biasa.

“Bagi aplikasi berkaitan Google seperti Gmail, pengguna masih boleh mendapat akses ke akaun Gmail mereka namun, ia boleh dilakukan menggunakan pelayar web,” katanya.

Peranti terbaharu keluaran Huawei iaitu Mate 30 dan Mate 30 Pro yang dilancarkan baru-baru ini di Munich, menggunakan platform Android 10 dan EMUI 10 yang dibangunkan Huawei.

Malah, pihaknya juga menegaskan semua model terbaharu keluaran Huawei selepas ini tidak akan menggunakan Google Mobile Services (GMS) namun, model sedia ada di pasaran tidak terjejas dengan perubahan ini.

AppGallery adalah ruang untuk pengguna mendapatkan pelbagai aplikasi yang disediakan pihak ketiga dan ketika ini ia mencatatkan 390 juta pengguna aktif setiap bulan.

Terdapat puluhan juta pengguna untuk aplikasi proprietari, 200 juta untuk Pelayar, 160 juta untuk Cloud, 160 juta untuk Muzik, 140 juta untuk Pembantu, 130 juta untuk video dan 70 juta untuk tema.

Dalam pada itu, menurutnya, dalam menggalakkan penggunaan HMS, Huawei menawarkan insentif sehingga AS$1 bilion (RM4.18 bilion) kepada pembangun untuk menawarkan aplikasi bagi peranti keluarannya.

“Ketika ini, terdapat sejuta pembangun aplikasi berdaftar dengan HMS yang boleh memenuhi keperluan 570 juta pengguna aktif Huawei di 170 negara,” katanya.

Su berkata, pembangun perisian dan aplikasi khususnya di Asia Pasifik kini sedang menyesuaikan diri dengan kesukaran yang dihadapi Huawei.

“Siri Mate 30 berdepan situasi baru, yang belum pernah kami hadapi. Bagi menangani keadaan ini, mereka perlu mengikut kehendak semasa.

“Malah, pengguna juga perlu dididik untuk menggunakan pelbagai cara bagi mendapatkan aplikasi yang diperlukan dan ia tidak semestinya dari satu sumber saja,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 12:05am
d