bisnes

Fokus kehidupan lebih baik

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap kerajaan melalui Belanjawan 2020 akan dapat memberi fokus untuk menjadikan kehidupan warga Malaysia lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, bidang yang mungkin boleh diberi perhatian adalah daripada aspek pekerjaan, perbelanjaan sosial dan keselamatan sosial.

“Kami selaku pengendali dana bagi pekerja di negara ini percaya kehidupan warga Malaysia yang lebih baik akan memberi impak positif kepada semua pihak,” katanya pada media selepas majlis pelancaran i-Invest di sini, semalam.

i-Invest adalah inovasi terbaharu KWSP di mana ia adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memberi tambah nilai kepada ahli dalam era digitalisasi.

Saluran layan diri dalam talian itu boleh diakses melalui bahagian Ahli dalam i-Akaun bagi membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 mereka untuk dilaburkan ke dalam dana unit amanah yang diitawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan KWSP.

Sementara itu, Alizakri berkata, platform pelaburan digital itu menerima sambutan amat menggalakkan sejak ia dilancarkan dalam versi beta pada 19 Ogos lalu di mana hampir 2,500 ahli KWSP telah melakukan transaksi bernilai RM32 juta dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, pelancaran i-Invest telah menjadikan KWSP sebagai dana persaraan yang pertama di dunia menghubungkan simpanan persaraan ahli secara terus dengan perkhidmatan dalam talian pelaburan.

“Perkhidmatan ini akan memudahkan ahli KWSP melakukan urusan pelaburan mereka dengan IPD melalui cara yang lebih mudah pada kos lebih rendah.

“Apa paling penting, saya sarankan ahli mengenal pasti apa yang ingin dilakukan, belajar untuk melakukan pelaburan yang betul dan memahami risiko pelaburan diingini sebelum melakukan pelaburan melalui i-Invest ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman berkata, saluran i-Invest itu bukan saja membolehkan ahli yang layak untuk menguruskan sendiri dana unit amanah malah memperkasakan mereka dengan maklumat yang boleh diakses dan dianalisa.

“Selain itu, ahli juga boleh menyemak dan melakukan transaksi secara dalam talian seterusnya menyediakan peluang untuk meningkatkan literasi pelaburan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 10:30am
    d