bisnes

'Hadiah' penjimatan 25 peratus

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) menyasarkan peningkatan nilai penjimatan sebanyak 25 peratus kepada pelanggannya bagi tahun kewangan 2019.

Pengarah Pelanggannya, Vivian Yap berkata, pihaknya komited terus memberi nilai penjimatan kepada pelanggan selepas melabur RM20 juta pada tahun lalu.

Katanya, Tesco Malaysia akan terus melabur dalam memberi penjimatan kepada pelanggan setiap tahun menerusi pemberian ganjaran melalui kad Tesco Clubcard.

“Setakat Ogos lalu, kami mempunyai 1.2 juta ahli kad Tesco yang aktif berbelanja dan mereka menikmati pelbagai ganjaran ditawarkan bagi setiap promosi yang dijalankan.

“Tesco Malaysia mula memperkenalkan kad keahlian Tesco Clubcard pada 2008 dan pengenalan kad ini adalah cara menghargai pelanggan setia kami,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, pelanggan akan mendapat mata ganjaran setiap kali mereka berbelanja di Tesco dan mata ganjaran itu boleh ditukarkan kepada baucar tunai.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan pelanggan menggunakan beg kitar semula ketika membeli-belah bagi mendapatkan mata ganjaran tambahan.

“Lebih istimewa, kad keahlian Tesco ini tiada tarikh luput dan mata ganjaran boleh ditukarkan kepada baucar tunai, bagaimanapun bagi kad yang tidak aktif selama dua tahun secara automatik akan dikeluarkan daripada sistem.

“Pada 2015, kami juga melancarkan aplikasi mudah alih Tesco Clubcard di mana pelanggan boleh menyemak mata ganjaran mereka melalui telefon,” katanya.

Vivian berkata, bagi memberi lebih manfaat, pihaknya menawarkan diskaun untuk tiket ke lokasi menarik seperti Legoland, Taman Tema A Famosa, Entopia by Penang Butterfly Park dan Kidzania.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 11:00am
d