bisnes

Daim ketuai rundingan semula dapatkan RM8.3b

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin mengetuai rundingan dengan China untuk mendapatkan kembali RM8.3 bilion yang sudah dibayar kepada kontraktor projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perbincangan itu berlangsung sejak setahun lalu.

“Saya tidak fikir kita akan dapat perunding lebih baik daripada Daim. Beliau mempunyai budi bicara dan kebebasan kerana walaupun beliau ketua perunding, beliau bukan sebahagian daripada kerajaan.

“Jadi beliau mampu mengemudi rundingan serta bebas mengemukakan cadangan yang akan membolehkan kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik dan dipersetujui bersama,” katanya.

Daim, bekas menteri kewangan negara turut mengetuai rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kerajaan China pada 12 April, yang menyaksikan kerajaan mengurangkan harga projek rel itu daripada RM65.5 bilion sebelumnya kepada RM44 bilion iaitu penjimatan RM21.5 bilion.

Lim berkata, Daim berjaya mencapai rundingan semula ECRL tanpa menjejaskan kepentingan hubungan dua hala antara China dan Malaysia dan pada masa sama berjaya mendapatkan Beijing membeli lebih banyak minyak sawit, melabur di Malaysia dan menampung separuh kos operasi ECRL.

“Ini urus niaga terbaik yang kita boleh dapat,” katanya.

Lim berkata, projek saluran paip di Sabah antara beberapa projek infrastruktur yang menyebabkan kerajaan menanggung banyak hutang berdasarkan keadaannya yang meragukan.

Bayaran RM8.3 bilion kepada kontraktor projek itu adalah untuk 88 peratus daripada jumlah nilai projek di sebalik dakwaan bahawa hanya 13 peratus projek itu siap.

Projek RM9.4 bilion itu diberi kepada Biro Saluran Paip Petroleum China pada 1 November 2016.

“Bila kami minta kontraktor tunjukkan di mana mereka pasang paip itu atau kerja awal dilaksanakan di Sabah, mereka enggan bawa kami. Apabila kami pergi buat tinjauan, kami tidak jumpa sebatang skru pun namun mereka sudah dibayar RM8.3 bilion.

“Kenapa bayar duit bagi kerja yang tidak dibuat? Sehingga kini, mereka gagal beri penjelasan,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 7:42am
d