bisnes

Perkenal uBC bantu PKS

Oleh Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Unifi memperkenalkan Unifi Business Club (uBC) bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan mereka secara atas talian tanpa gangguan.

Ia berikutan komuniti perniagaan PKS memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi dan nadi dalam memacu negara ke arah Revolusi Perindustrian 4.0.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, menyedari perkara itu mendorong unifi memberi tumpuan kepada pelanggan perniagaan dengan memperkenalkan uBC.

“uBC menawarkan pelbagai penyelesaian yang direka bagi memenuhi keperluan khusus pelanggan perniagaan antaranya mendepani pencabar perniagaan, pengurusan aliran kewangan lebih baik dan meningkatkan publisiti.

“Ini juga adalah tanda terima kasih kepada pelanggan perniagaan yang komited menggunakan produk perkhidmatan yang ditawarkan unifi,” katanya selepas Majlis Pelancaran uBC di Sunway Convention Centre, Seberang Jaya, semalam.

Majis pelancaran produk perkhidmatan itu disempurnakan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Pelancaran perkhidmatan uBC itu antara #khabarbaik terbaharu yang diumumkan unifi bagi menghargai pelanggan setianya.

Seramai 380,000 pelanggan perniagaan unifi sedia ada secara automatik menjadi ahli uBC, sekali gus memperoleh manfaat yang disediakan di bawah produk perkhidmatan ini.

Antara manfaat yang diperoleh adalah pelanggan perniagaan boleh menjangkakan pelbagai penyelesaian perniagaan khusus seperti Penyelesaian Pemasaran Digital (DMS) bersepadu yang membolehkan ahli untuk meningkatkan kehadiran digital mereka.

Ahli juga boleh membina laman web dengan mudah menggunakan tema sedia ada dan menambah ciri-ciri e-dagang selain mendapatkan bantuan kewangan melalui usahasama antara unifi dan penyelesaian kewangan khusus untuk PKS yang ditawarkan oleh ScoreXcess dari SME Bank.

Penyelesaian ini menawarkan ahli yang berminat membuat pinjaman secara atas talian dan menerima kelulusan dalam tempoh 48 jam.

Pada majlis sama, unifi meneruskan #khabarbaik kepada kesemua pelanggannya dengan kempen Pay Nothing yang menawarkan pengecualian yuran langganan bulanan bermula Oktober sehingga akhir tahun ini.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 6:48am
d