bisnes

Sektor penjagaan pacu ekonomi negara

Oleh hmdigital

INSTITUT Penyelidikan Khazanah (KRI) menyifatkan pelaburan yang tinggi dalam sektor penjagaan mampu menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Badan penyelidikan itu mengesahkan sektor terbabit turut mempunyai peranan tersendiri bagi mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja.

Menurut laporan terkini KRI bertajuk Time to Care: Gender Inequality, Unpaid Care Work and Time Use Survey mendapati pelaburan dalam sektor penjagaan mampu menyumbang kepada pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 0.4 peratus.

Timbalan Pengarah Penyelidikan KRI, Christopher Choong Weng Wai berkata, sektor ekonomi itu dijangka dapat menjana pulangan sekitar 1.6 peratus kepada KDNK serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Katanya, ekonomi penjagaan seperti suri rumah, penjagaan kanak-kanak dan orang tua boleh dilihat sebagai sumber ekonomi baharu selain membantu mengurangkan ketidaksamaan jantina.

“Usaha mempertingkatkan sektor ini bukan saja dapat mempertingkatkan pekerjaan dalam kalangan wanita, malah ia membantu mewujudkan peluang dalam sektor itu sendiri.

“Berdasarkan simulasi dari KRI, kami mendapati pelaburan tinggi dalam sektor penjagaan dapat memberi pulangan yang memberangsangkan.

“Antaranya peningkatan tenaga kerja wanita kepada 63 peratus dalam lima tahun dengan penciptaan 16,000 kerja dalam sektor penjagaan kanak-kanak,” katanya pada majlis pelancaran laporan itu di sini, semalam.

Laporan berkenaan turut menyentuh beberapa aspek berkaitan sektor penjagaan seperti peningkatan beban penjagaan, kajian rintis, kesan kepada pasaran buruh, landskap penjagaan kanak-kanak serta polisi berkaitan.

Kerja penjagaan dalam ekonomi penjagaan merujuk kepada pekerjaan yang menyediakan perkhidmatan yang membantu individu membangun kemampuan atau keupayaan untuk meneruskan aspek kehidupan yang mereka hargai seperti penjagaan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Weng Wai berkata, pihak KRI juga ingin mencadangkan kepada kerajaan memberi subsidi bagi merangsang permintaan bagi penjagaan kanak-kanak.

Menurutnya, perkara itu akan membantu mengurangkan beban dipikul wanita dan pada masa sama dapat mewujudkan pekerjaan baharu seperti guru dan pengasuh.

“Kerajaan boleh memperkenalkan elaun penjagaan kesihatan untuk menjadikan perkhidmatan itu lebih mampu milik bagi ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan sama, kebanyakan pusat jagaan kanak-kanak yang formal di negara ini tidak beroperasi pada kapasiti penuh dan ada sesetengah perkhidmatan itu tidak boleh diakses serta tidak begitu mampu milik di beberapa tempat.

Malah, laporan itu turut menekankan bahawa isi rumah di Kuala Lumpur perlu berbelanja sekitar 15 peratus daripada pendapatan mereka untuk penjagaan kanak-kanak.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 6:54am
d