bisnes

Beri peluang

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KUALA LUMPUR: Huawei Malaysia komited memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk turut terbabit dalam industri digital tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Pemasaran Perkhidmatan Mudah Alih Huawei, Kim So Yeon berkata, usaha berkenaan boleh dicapai menerusi pembabitan dalam Perkhidmatan Mudah Alih Huawei (Huawei Mobile Services) dan ia adalah platform dibangunkan Huawei untuk menyediakan aplikasi media sosial.

“Kami ingin membina ekosistem digital yang lebih baik khususnya dalam pembangunan aplikasi yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.

“Huawei juga menyediakan platform pembangun aplikasi dan mereka tidak perlu membayar sebarang yuran tahunan atau yuran pembangunan aplikasi sebaliknya hanya menggunakan platform ini,” katanya pada Persidangan Ekosistem Malaysia Huawei 2019 (HMEC 19) di sini, kelmarin.

HMEC 19 dijayakan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Media Prima yang dihadiri lebih 200 delegasi daripada pemain industri utama, rakan perniagaan dan pembangun aplikasi.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Syed Hussian Aljunid dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak.

Majlis sama turut menyaksikan Huawei mengumumkan harga rasmi bagi peranti kelas perdana mereka iaitu siri Mate 30 yang dilancarkan di Munich, Jerman, bulan lalu.

Huawei Mate 30 dengan keupayaan memori (RAM) 8GB dan storan 128GB dijual pada harga RM2,799, manakala untuk Mate 30 Pro (8GB+256GB) pada harga RM3,899.

Syarikat gergasi berkenaan turut melancarkan Huawei Watch GT 2 dan Huawei Band 4 yang didatangkan dengan pemuka bersaiz 46 mm dan 42 mm bersesuaian dengan pengguna lelaki atau wanita.

Bagi peranti jam pintar berkenaan, tanda harga dua peranti itu bermula RM799 dan pengguna boleh melakukan pratempahan bermula semalam di Kedai Rasmi Huawei secara dalam talian.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 7:52am
d