bisnes

Peluang kerja sepadan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengenal pasti sumber pertumbuhan ekonomi baharu agar dapat membantu menyelesaikan masalah hutang negara dan sekali gus memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zulkornain Yusop berkata, Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini sememangnya ditunggu-tunggu rakyat.

Katanya, rakyat ingin melihat bagaimana kerajaan benar-benar dapat merealisasikan usaha dan cita-cita agar kemakmuran serta kekayaan negara dapat dinikmati secara bersama oleh segenap lapisan masyarakat dan bangsa.

“Graduan umpamanya mengharapkan mereka boleh mendapat peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.

“Manakala peniaga pula lebih mengharapkan agar sentimen dan kemampuan berbelanja kekal positif,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Zulkornain berkata, tidak dinafikan pentingnya mengurangkan nisbah hutang negara tetapi bagi rakyat umum, pendapatan asas yang mencukupi adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

“Syabas diucapkan kepada kerajaan kerana liabiliti hutang negara berkurang daripada 79.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 kepada 75.4 peratus tahun lalu.

“Namun, pengurangan perbelanjaan dan pengurusan hutang serta penjimatan janganlah sehingga ramai pihak yang hilang pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 yang bertema Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera di mana ia memberi tiga fokus utama dengan 12 strategi penting bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

Tiga fokus utama yang ditekankan adalah melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya negara keusahawanan.

Melalui belanjawan berkenaan, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.

Daripada jumlah berkenaan, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 10:18am
    d