bisnes

Skim baharu Foodpanda pendapatan lebih tinggi

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

FOODPANDA Malaysia, memberi jaminan skim pembayaran baharu yang diperkenalkan kepada penghantar di luar Lembah Klang dapat menjamin pendapatan 50 peratus lebih tinggi berbanding sistem lama.

Pengarah Urusannya, Sayantan Das berkata, sistem yang digunapakai oleh Foodpanda berdasarkan merit dan formula itu juga digunapakai di seluruh dunia.

Katanya, Foodpanda menerima pelbagai maklum balas terhadap sistem baharu yang dilaksanakan pada 30 September lalu bagi penghantar luar Lembah Klang.

“Ada yang memberi respon baik dan sebaliknya. Namun, di bawah skim baharu ini kadar mengikut jam sudah dihapuskan dan pembayaran mengikut tempahan pula dinaikkan.

“Sebelum ini seorang penghantar mendapat bayaran RM5 bagi setiap tempahan bagaimanapun mengikut skim baharu, bayaran dinaikkan kepada RM7,” katanya pada sidang media mengenai skim pembayaran baharu Foodpanda Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, penghantar juga akan diberi insentif sebanyak RM150 apabila berjaya menghabiskan waktu bekerja selama 40 jam seminggu di samping bayaran tambahan RM1 bagi setiap tempahan yang dihantar bagi tempoh 11 malam sehingga 9 pagi setiap hari.

Selain itu, pihaknya melihat, penghantar dapat menghantar sekurang-kurangnya tiga tempahan setiap jam.

Sayantan berkata, Foodpanda Malaysia tidak berhasrat untuk menghentikan sistem pembayaran baharu terbabit kerana ia baru saja dilaksanakan.

“Kami akan membuat penilaian semula dalam tempoh empat minggu lagi bagi melihat kesesuaian sistem ini kepada penghantar di luar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, penghantar perlu mencuba terlebih dahulu sistem baharu ini sebelum membuat sebarang keputusan.

“Bagaimanapun, mereka sepatutnya mencuba dahulu sistem pembayaran baharu ini. Selepas mencuba sistem berkenaan dan masih mahu bersama Foodpanda, kami menerima dengan hati terbuka.

“Tetapi, sekiranya mereka tidak mahu, kami tidak menghalang mereka untuk meneroka peluang pekerjaan lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 4:34pm
d