bisnes

Santuni komuniti

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Kumpulan AmBank dengan kerjasama Mydin melancarkan e-Dompet Program Bantuan Makanan untuk keluarga miskin bandar di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, objektif utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah untuk menyantuni komuniti yang memerlukan khususnya dalam aspek keperluan makanan.

“Kami akan memberikan bantuan berupa elaun bagi meringankan perbelanjaan barangan makanan harian.

“Seramai 100 keluarga kurang berkemampuan yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah dikenalpasti dan melalui beberapa saringan.

“Setiap keluarga yang terpilih akan menerima RM100 sebulan selama setahun yang mana jumlah berkenaan akan dikredit ke MyKad masing-masing bagi tujuan perbelanjaan di cawangan Mydin terpilih,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, selain program bantuan makanan, pihaknya juga akan menjalankan siri keusahawanan, program celik kewangan dan cerama motivasi bagi membantu keluarga ini.

“Selain itu, anak-anak daripada keluarga terpilih ini juga akan menerima tuisyen dan kelas Bahasa Inggeris secara percuma,” katanya.

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada program AmKasih iaitu platform CSR kelolaan AmBank.

AmBank melalui Yayasan Kumpulan Am memperuntukkan sehingga RM2.3 juta dari 2009 hingga 2016 yang memberi manfaat lebih 2,000 keluarga.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 6:48am
d