bisnes

Tambah penerbangan KL-Beijing

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan menambah kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Beijing daripada tujuh kepada 10 penerbangan seminggu mulai 1 Januari 2020.

Ini berikutan penempatan semula operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing (PKX) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaraya Beijing (PEK).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kapten Izham Ismail berkata, MAB menyifatkan perkembangan itu sebahagian daripada perubahan rangkaian ke China dan dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia Airlines sebagai penyedia perkhidmatan penuh utama ke China.

“Ia juga dapat menggalakkan perdagangan dua hala dan pelancongan.

“Kami melihat China sebagai pasaran pertumbuhan utama dan komited untuk mengembangkan kesalinghubungan yang mampan ke China menerusi pelaksanaan lebih banyak penerbangan langsung atau melalui jalinan usaha sama dengan syarikat penerbangan China,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:20am
d