bisnes

81 peratus kos operasi

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM297 bilion atau 18.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2020.

Jumlah peruntukan itu merangkumi 81.1 peratus untuk perbelanjaan operasi (OE) atau RM241 bilion manakala baki RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (DE).

Daripada jumlah itu, 37.9 peratus diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial diikuti ekonomi (16.2 peratus), keselamatan (11.3 peratus) dan pentadbiran am (7.5 peratus) manakala baki 27.1 peratus perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.

Berdasarkan Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan tiga kementerian menerima peruntukan tertinggi dengan masing-masing menerima RM64.1 bilion, RM37.8 bilion dan RM30.6 bilion, merangkumi 44.6 peratus daripada jumlah peruntukan.

Suntikan tambahan 0.2 peratus daripada KDNK disediakan menerusi DE untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dengan kesan pengganda tinggi dan strategik seperti pembinaan landasan kereta api dan jalan raya, menaik taraf sekolah, klinik dan loji rawatan air serta memperluas jaringan infrastruktur jalur lebar di pinggir bandar.

Langkah segera itu dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dan mengembangkan kapasiti ekonomi, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Laporan itu menyebut peruntukan OE dianggar berjumlah RM241 bilion atau 14.9 peratus daripada KDNK pada 2020 dan meningkat tujuh peratus berbanding RM225.3 bilion pada 2019 tanpa mengambil kira peruntukan tunggakan bayaran balik cukai secara one-off sebanyak RM37 bilion.

Emolumen kekal sebagai komponen OE terbesar dan dianggarkan meningkat kepada RM82.6 bilion terutamanya disebabkan kenaikan gaji tahunan.

Peruntukan ini bertujuan membayar gaji dan upah, elaun dan pelbagai imbuhan lain kepada hampir 1.4 juta penjawat awam Kerajaan Persekutuan dengan 67.5 peratus diperuntukkan kepada KPM dan KKM terutamanya untuk guru, doktor dan jururawat.

Subsidi dan bantuan sosial diunjur pada RM24.2 bilion untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bantuan kebajikan, subsidi berkaitan padi dan minyak, pampasan tol serta bantuan pendidikan termasuk biasiswa.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 7:23am
d