bisnes

Spritzer optimis kekal kadar pertumbuhan 10 peratus

Oleh Sofyan Rizal Ishak

SHAH ALAM: Spritzer Berhad (Spritzer), pengeluar air botol terkemuka tempatan optimis untuk mengekalkan kadar pertumbuhan perniagaannya kepada 10 peratus pada tahun ini berdasarkan kepada prestasi jualan semasanya bagi sepanjang 2019.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo berkata, pihaknya mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan sepanjang tahun ini terutama bagi tempoh suku sebelum ini disebabkan isu gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang.

“Kami dijangka mampu untuk mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu bukan saja dipacu melalui prestasi jualan semasa, malah pelaksanaan kempen promosi yang agresif dan langkah mengurangkan kos bagi meningkatkan kecekapan operasi kami,” katanya pada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Spritzer mencatatkan pertumbuhan pendapatan kira-kira 10 peratus kepada RM347 juta bagi tahun kewangannya berakhir 31 Disember 2018 berbanding RM313 juta bagi tempoh masa sama bagi tahun sebelumnya.

Beliau berkata, syarikat menetapkan lima peratus daripada pendapatan keseluruhan pada tahun ini bagi aktiviti pemasaran dan promosi bagi terus mengukuhkan lagi jenama Spritzer sekali gus memastikan jenama itu kekal sebagai jenama air semula jadi pertama di negara ini dengan penguasaan 40 peratus di pasaran.

“Untuk tahun ini, kami aktif dalam melakukan promosi untuk memastikan pengguna di negara ini terus dapat menikmati produk air botol berkualiti tinggi meskipun dalam situasi sentimen pengguna yang berhati-hati dalam perbelanjaan seharian.

“Bagaimanapun, kami percaya masih terdapat banyak lagi potensi untuk kami berkembang berikutan pasaran air botol di Malaysia adalah luas dan berkembang pada kadar lapan hingga 10 peratus secara tahunan dengan kesedaran untuk menjaga kesihatan melalui minuman berkualiti juga semakin baik dalam kalangan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Chuah berkata, Spritzer melabur lebih RM45 juta untuk membuka gudang automatik dengan ciri pintar di tapak kilang sedia ada di Taiping, Perak sejajar dengan inisiatif untuk menyahut seruan kerajaan bagi melaksanakan revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Gudang yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan ini akan menampilkan peralatan termaju, sistem hubungan pintar dan memanfaatkan Internet Kebendaan (IoT) bagi memacu kecekapan yang lebih tinggi dalam operasi kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 6:44am
d