bisnes

Komited tingkat daya saing

Oleh Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Malaysia terus komited untuk meningkatkan jumlah skor dalam kedudukan daya saing global selepas jatuh dua anak tangga dalam Laporan Daya Saing Global (CGR) 2019, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata walaupun kedudukan Malaysia berganjak sedikit, secara keseluruhan Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan dari segi daya saing dengan penambahan 0.2 mata kepada 74.6 mata tahun ini.

“Walaupun (kedudukan) Malaysia jatuh, skor kita lebih tinggi sedikit berbanding tahun lalu. Dua negara yang berada di depan kita juga bukan dari rantau ini tetapi Sepanyol dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Di rantau ASEAN, kita masih kekal di belakang Singapura manakala dalam kalangan negara Pasifik, kita berada di kedudukan kelapan.

“Secara keseluruhan, kita masih merekodkan prestasi memberangsangkan dengan berada dalam kelompok 50 teratas daripada 141 negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Dialog Rundingan MITI di sini, semalam.

Dialog sehari yang menggabungkan sembilan kementerian dalam sesi rundingan bersama peserta industri itu memberi ruang dan platform kepada sektor swasta dan kerajaan untuk menyalurkan isu berbangkit dalam usaha menambah baik sistem penyampaian awam kerajaan.

Dalam laporan CGR 2019, sebanyak 12 tunjang yang diambil kira iaitu institusi; infrastruktur; penerimaan teknologi komunikasi (ICT); kestabilan makro-ekonomi; kesihatan; kemahiran; pasaran produk; pasaran buruh; sistem kewangan; saiz pasaran; dinamisme perniagaan dan keupayaan inovasi.

Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 25 daripada 140 negara.

Mengulas mengenai tindakan segelintir syarikat penapis minyak sawit India mula menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia untuk penghantaran November dan Disember depan, Darell berkata, Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak bermusuh dengan mana-mana negara.

Menurutnya, beliau turut menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus mengadakan rundingan bersama dengan India bagi menangani isu-isu utama termasuk minyak sawit.

“Kadangkala, orang akan terlampau emosi dengan apa yang diperkatakan dan mereka akan tersalah anggap.

“Apa yang penting bagi kedua-dua negara adalah perdagangan. Kami sangat jelas dengan apa yang dimahukan dan tiada negara yang mahu menyakiti negara lain,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 7:13am
d