bisnes

20 juta penumpang bakal nikmati PSC lebih rendah

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada peringkat akhir untuk melengkapkan Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) yang akan menjadi asas bagi pembiayaan dan pembangunan rangkaian lapangan terbang di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Mavcom berkata, selepas rangka kerja ini diperkenalkan kelak, lebih 20 juta penumpang di Malaysia menikmati PSC lebih rendah.

Antara lapangan terbang yang dijangka mengenakan PSC lebih rendah ialah Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Sibu, Tawau, Lahad Datu, Kota Bharu dan Alor Setar.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, suruhanjaya menjalankan kajian terperinci mengenai rangka kerja RAB sejak 2017 dan kajian ini membabitkan pihak berkepentingan seperti kementerian, syarikat penerbangan, syarikat pengendali lapangan terbang serta badan penerbangan antarabangsa dan institusi kewangan.

“Sepanjang tempoh dua tahun ini, Mavcom menerbitkan pelbagai maklumat serta kertas rundingan untuk mendapatkan maklum balas bagi pembangunan rangka kerja RAB.

“Kami juga membentangkan rangka kerja RAB yang mempunyai empat peringkat kumpulan lapangan terbang dengan kadar PSC yang berbeza kepada pihak kerajaan, termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Katanya, rangka kerja RAB yang dicadangkan oleh suruhanjaya dapat mencapai matlamat utamanya tanpa memberikan sebarang beban fiskal kepada kerajaan.

“Kerajaan akan menikmati pulangan dalam bentuk User Fee yang dibayar oleh pengendali lapangan terbang kepada pihak kerajaan.

“Suruhanjaya juga menganggarkan kerajaan perlu menanggung pemberian subsidi RM300 juta setahun sekiranya PSC tidak ditetapkan dengan tepat dan perbelanjaan pembangunan tidak mencukupi akan berterusan.

“Dengan rangka kerja RAB yang akan diperkenalkan oleh suruhanjaya, kerajaan akan dapat memperuntukkan jumlah itu ke arah bidang lain yang lebih kritikal,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:44am
d