bisnes

Kerajaan komited susun semula ekonomi negara [METROTV]

Oleh Nabil Basaruddin

KERAJAAN komited untuk menyusun semula ekonomi Malaysia supaya negara ini dapat muncul sebagai ekonomi yang lebih progresif, berasaskan pengetahuan dan memperkasakan rakyat tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dari perspektif sektor awam, kerajaan perlu bekerja lebih masa bagi memperkukuh dan membersihkan segala ‘kekacauan’ yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, untuk perkara berkenaan, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan penting untuk meningkatkan kestabilan, memperkuat pengurusan fiskal serta meningkatkan tadbir urus korporat dan ketelusan.

“Bagaimanapun, kerajaan terpaksa menanggung beban hutang daripada pentadbiran terdahulu dalam merealisasikan usaha penstrukturan ekonomi negara ini.

“Meskipun kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk menangani masalah ini, ia akan mengambil masa bagi memperbaiki keadaan fiskal negara pada masa ini,” katanya ketika berucap dan merasmikan Persidangan Koporat PNB 2019 (PCS 2019) di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri berkata, untuk mencapai matlamat ini, penting bahawa sektor swasta juga perlu memainkan peranannya dan menjadi peneraju utama ekonomi negara.

“Sektor korporat perlu memainkan peranan lebih besar dalam mencipta nilai dan kekayaan dengan sebahagian proses ini adalah kunci kepada produktiviti dan pembangunan bakat,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed.

PCS 2019 yang bertemakan ‘Rebooting Corporate Malaysia’ adalah persidangan korporat sulung PNB yang bertujuan mempelopori usaha transformasi bagi sektor korporat di Malaysia.

Persidangan itu dihadiri lebih 500 peserta yang terdiri daripada penggubal dasar, kepimpinan utama dan pengurusan kanan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli ekonomi, agensi penarafan dan badan kawal selia.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 11:09am
d