bisnes

Baldanza terajui Malaysia Airlines?

Oleh Bisnes HM

KUALA LUMPUR: Basil Ben Baldanza, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Spirit Airlines antara individu yang dikatakan bakal menerajui pelan pemulihan Malaysia Airlines Bhd.

Sumber industri yang rapat dengan perkara itu berkata, Baldanza sebahagian daripada sekumpulan usahawan Malaysia yang bakal menjadi pelabur dan menjadi rakan strategik kepada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan syarikat induk Malaysia Airlines iaitu Malaysia Aviation Group Bhd (MAG).

Kerajaan baru-baru ini sudah menyenarai pendek empat pelabur strategik bagi membentuk sinergi diperlukan dalam pelan pemulihan MAB untuk jangka masa panjang namun tidak mendedahkan perincian empat pelabur itu.

“Baldanza antara 20 pelabur berpotensi yang dipelawa oleh Khazanah dan MAG untuk menjadi rakan strategik.

“Daripada senarai itu, empat pelabur disenarai pendek termasuk kumpulan usahawan yang memilih Baldanza kerana dikatakan mempunyai kepakaran pemulihan strategi serta mempunyai dana kewangan kukuh,” katanya di sini, semalam.

Baldanza adalah pakar dalam pemulihan syarikat penerbangan dengan pencapaian mengubah hala tuju perniagaan Spirit Airlines menjadi sebuah syarikat penerbangan ultra tambang rendah.

Antara syarikat penerbangan global yang berjaya keluar daripada permasalahan di bawah pimpinan beliau adalah Spirit Airlines, Continental Airlines, TACA Airlines dan NewLeaf Travel.

Beliau kini mempunyai firma penasihat, Diemacher LLC yang menumpukan kepada pemulihan syarikat penerbangan bermasalah di seluruh dunia.

Berdasarkan laman web Diemacher LLC, dinyatakan Baldanza boleh menjadi mentor kepada CEO, memberi pendapat berdasarkan pengalaman serta konsolidasi strategi komunikasi.

Baldanza juga berupaya membangunkan rancangan untuk mengurangkan kos, meningkatkan hasil dan menyelaraskan model perniagaan untuk berjaya.

Diemacher LLC juga mempunyai kepentingan minoriti dalam beberapa syarikat yang melantik beliau sebagai penasihat.

Sebagai CEO Diemacher LLC, Baldanza juga kini adalah Ahli Lembaga Pengarah JetBlue Airways (JBLU) serta pelabur dalam Connor Capital Transport Opportunities Fund.

Ia menguatkan lagi andaian Baldanza adalah pilihan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines kerana Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mempunyai suara majoriti dalam struktur baharu.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 12:39pm
d