bisnes

Tawar kediaman mampu milik

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

PEMAJU hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) terus komited dalam menyediakan kediaman mampu milik dengan melancarkan projek pembangunan kediaman terbaharunya iaitu M Arisa dengan harga permulaan RM299,000.

Projek pembangunan dua menara kediaman di Sentul itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM652 juta.

M Arisa merangkumi komponen 818 unit kediaman untuk blok menara selatan dan 780 unit bagi blok menara utara.

Ketua Eksekutif Mah Sing, Ho Hon Sang berkata, M Arisa adalah pembangunan kediaman mampu milik kedua yang dibangunkan pihaknya di Sentul selepas M Centura.

“Sentul adalah lokasi yang strategik kerana ia terletak hampir dengan pusat bandar.

“Dengan penetapan harga yang sesuai serta kemudahan menarik yang disediakan, M Arisa mampu memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga kecil dan mereka yang mahu menaik taraf kediaman.

“M Arisa menawarkan lima jenis kediaman daripada pilihan satu bilik tidur hinggalah empat bilik tidur dengan keluasan binaan bermula daripada 550 kaki persegi hinggalah maksimum 1,008 kaki persegi,” katanya pada majlis pelancaran galeri jualan M Arisa, semalam.

Hadir sama, Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.

Pembeli yang berminat boleh mengunjungi galeri jualan berkenaan untuk melihat dengan lebih dekat model skala pembangunan berkenaan bermula esok.

Sementara itu, Hon Sang berkata, pembangunan itu dibangunkan di atas tapak seluas 1.34 hektar yang terakhir milik Mah Sing di Sentul.

“Bagaimanapun, kami akan terus mencari potensi untuk mendapatkan simpanan tanah baharu di lokasi yang strategik,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 11:59am
d