bisnes

Francais baharu konsep baharu

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Pemegang francais induk bagi jenama Dunkin’, Golden Donuts Sdn Bhd menyasarkan untuk membuka 10 hingga 15 cawangan baharu pada tahun hadapan selari dengan pelan penjenamaan semulanya.

Pengarah Urusan Golden Donuts, Peter Yu berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal RM6 juta pada 2020 bagi mengukuhkan operasi jenama itu.

Beliau berkata, bermula November ini, Dunkin’ yang sebelum ini dikenali sebagai Dunkin’ Donut kini tampil dengan konsep jenama baharu bagi menyediakan pengalaman lebih baik kepada pelanggan.

Menurutnya, konsep berkenaan merangkumi pembungkusan, pengiklanan jenama, laman web dan saluran sosial media di Malaysia serta ruang dalaman kedai untuk jenama Dunkin’.

“Setakat ini, kami mempunyai 92 cawangan di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Sabah, Perak, Pulau Pinang serta Pahang dan membuka empat cawangan lagi menjelang hujung tahun ini.

“Sebagai sebahagian pelan baharu jenama Dunkin’, 10 hingga 15 cawangan dengan konsep baharu dibuka pada tahun depan di beberapa lokasi utama seperti pusat beli-belah, stesen minyak, hab pengangkutan serta lapangan terbang.

“Untuk kedai sedia ada, kami jangka proses naik taraf kepada konsep baharu ini siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran identiti bagi jenama Dunkin’ di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 6:31am
d