bisnes

AIA Public Takaful tawar pelan mampu milik [METROTV]

Oleh Nabil Basaruddin

AIA Public Takaful Bhd (AIA Public Takaful) melalui janji jenamanya, ‘hidup lebih sihat, panjang dan bermakna’ komited untuk meningkatkan kadar penembusan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elmie Aman Najas berkata, untuk menjayakan perkara terbabit, syarikat berkenaan terus tampil dengan beberapa pelan perlindungan mampu milik.

Beliau berkata, sebagai pengendali takaful di Malaysia, pihaknya berharap dapat memainkan peranan penting bagi memastikan setiap rakyat dapat dilindungi dan mendapat manfaatnya.

“Kami menawarkan penyelesaian takaful patuh syariah yang bersesuaian dengan keperluan rakyat negara ini di setiap peringkat kehidupan seperti pelan perubatan, takaful keluarga serta pelan berkaitan pelaburan.

“Setakat ini AIA Public Takaful mempunyai tenaga agensi seramai 14,000 ejen yang mana 8,000 daripadanya memegang lesen takaful bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan produk ditawarkan menepati garis panduan,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

AIA Public Takaful mula diperbadankan pada Mac 2011 dan dimiliki secara bersama oleh AIA dan Public Bank Bhd serta Public Islamic Bank Bhd.

Elmie berkata, sehingga akhir 2018, AIA di Malaysia melindungi 3.9 juta rakyat Malaysia dan 1.2 juta adalah majikan.

“Kami juga membayar sebanyak RM2.4 bilion tuntutan perubatan atau kesihatan individu serta merekrut lebih 4,700 ejen dan perunding kewangan yang baru.

“Ini adalah bagi menyokong janji jenama kami untuk sentiasa bersama pelanggan sepanjang kehidupan selain menawarkan penyelesaian serta produk yang menggalakkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, AIA Public Takaful bukan saja bersama pelanggan ketika diperlukan, tetapi pada setiap hari dan apa juga yang dilaksanakan syarikat adalah berlandaskan janji jenamanya.

Menurutnya, AIA tidak hanya memberi tumpuan kepada penyakit, tetapi turut menitikberatkan aspek kesihatan.

“Kami tidak lagi fokus terhadap hayat, tetapi bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan baik dan bermakna di mana cara terbaik adalah untuk hidup dengan lebih sihat,” katanya.

Selain itu, melalui program kesihatan unik seperti AIA Vitality, AIA Public Takaful berperanan untuk membantu pelanggannya untuk lebih proaktif dan positif dalam kehidupan dengan menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 8:01am
d