bisnes

Buka gedung Taobao akhir bulan ini

Oleh hmdigital

Kuala Lumpur: Alibaba Group bakal membuka gedung Taobao terbesar di Malaysia akhir bulan ini yang akan menempatkan produk dari China dan tempatan.

Gedung berkeluasan 5,000 kaki persegi itu akan dibuka di pusat beli MyTown membabitkan kerjasama dengan MyTown dan peruncit, Lumahgo New Retail Sdn Bhd.

Kedai yang akan dikenali sebagai Taobao Store by Lumahgo itu akan dibuka pada 29 November ini.

Pengurus Pemasaran Tmall World Malaysia, Jess Lew, berkata, 1,000 produk terdiri daripada pelbagai jenis kategori termasuk produk kecantikan, gaya hidup, perabot, ibu dan bayi, kediaman dan elektronik akan dijual di gedung itu.

Gedung itu juga, katanya dilengkapi dengan ruang permainan kanak-kanak dan kafe bagi memberikan pengalaman yang komprehensif kepada pelanggan.

“Saya percaya apabila pelanggan membeli produk di Taobao secara dalam talian, ada persoalan timbul seperti kualiti barangan yang dibeli.

“Kedai fizikal ini membolehkan pengguna merasai dan mencuba barangan yang ingin dibeli. Konsepnya memberi pengalaman pembelian yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran sambutan global Festival Beli-Belah 11.11 di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lumahgo New Retail, Fabian Kong.

Pada majlis itu, Alibaba menyumbangkan perabot, buku, barang baharu kepada tiga rumah anak yatim di Lembah Klang iaitu Rumah Charis-Home For The Children, Rumah Sayangan dan Rumah K.I.D.S.

Kerja naik taraf akan menggunakan produk ekslusif dari platform dalam talian Taobao untuk mendirikan Sudut Harapan yang akan menambah baik suasana di rumah anak yatim yang dijangka selesai sebelum Tahun Baru Cina depan.

Sementara itu Kong berkata, penyatuan pengalaman membeli-belah secara dalam dan luar talian diharap memberikan pengalaman membeli-belah yang unik kepada pelanggan.

“Harga ditawarkan di kedai fizikal ini sama dengan harga yang dijual dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 6:48am
d