bisnes

VDP 2.0 sokong usahawan vendor

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Berhad (Celcom) melancarkan Program Pembangunan Usahawan (VDP) 2.0 bagi menyokong usahawan vendor meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, program berkenaan dilihat penting oleh Celcom terutama dengan pembangunan landskap ekonomi dan perkembangan pesat digitalisasi pelbagai industri di Malaysia.

Katanya, inisiatif itu antara usaha Celcom untuk terus menyumbang dalam memajukan masyarakat dan membina negara kerana ia bukan sahaja memberi faedah kepada pertumbuhan vendor, malah memberi kesan menyeluruh kepada ekonomi.

“Kami mahu mengembangkan kecekapan vendor untuk melengkapi industri yang berkembang ke arah ekosistem digital dan Internet Benda (IoT) apabila usahawan mungkin mengalami kesukaran melakukannya sendiri.

“Transformasi ini perlu dibantu kerajaan dan penyedia teknologi seperti Celcom melalui kemudahan kerjasama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperoleh kemahiran, pembiayaan, teknologi dan e-dagang.

“VDP 2.0 adalah satu peluang membangunkan vendor dalam menjadi juara di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, seterusnya menjadikan mereka lebih berdaya saing ke arah Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 6:42am
d