bisnes

Optimis prestasi kukuh

Oleh Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Berhad optimis mampu mencatatkan prestasi tahunan yang kukuh berdasarkan keteguhan asas syarikat dan keputusan Kumpulan itu yang masih mantap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, kedudukan asas kumpulan terbabit tetap teguh meskipun dalam ketidakpastian pasaran global dan domestik (bagi pengguna dan komoditi) yang mungkin berlarutan.

Menurutnya, kumpulan itu terus memberi tumpuan dalam memenuhi keperluan semasa dan masa depan serta jangkaan pengguna Malaysia untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan menjana nilai bagi semua pihak berkepentingan.

“Dalam pada itu, kami memainkan peranan proaktif dalam meningkatkan kecekapan dan menjana pendapatan untuk melabur dalam jenama dan mempertahankan margin kami.

“Ini strategi paling berkesan menghadapi kos komoditi yang kian meningkat dan membolehkan pengguna terus mendapatkan jenama kami,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Nestle Malaysia mencatatkan margin untung kukuh pada suku ketiganya yang berakhir pada 30 September 2019 dengan peningkatan 8.2 peratus bagi keuntungan selepas cukai kepada RM149 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan margin keuntungan kukuh itu dipacu jualan domestik mantap dan tumpuan kumpulan dalam meningkatkan kecekapan dan penjimatan bagi mengukuhkan keuntungan di samping menghadapi tekanan kos luaran.

“Pertumbuhan dalam jualan domestik kami diterajui pelaksanaan jualan mantap, kejayaan berterusan hasil daripada inovasi produk dan sokongan pemasaran kukuh.

“Inovasi baharu yang dilancarkan pada suku tahun yang dilaporkan terus mendapat sambutan positif daripada pengguna sekali gus membolehkan kumpulan terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam banyak kategori utama,” katanya.

Aranols berkata, jualan domestik kukuh juga terus mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September lalu meskipun di sebalik indeks sentimen pengguna yang menurun.

“Prestasi lebih baik pada sembilan bulan pertama tahun ini didorong permintaan berterusan daripada pengguna dan jualan positif jenama kami apabila ia dicapai hasil permintaan kukuh dan sokongan pemasaran berkesan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya serta kejayaan inovasi produk dan penambahbaikan portfolio,” katanya.

Berdasarkan perolehan kukuh kumpulan, keuntungan sebelum cukai dan selepas cukai bagi tempoh sembilan bulan juga meningkat 1.1 peratus kepada RM704 juta dan RM541 juta disokong oleh pertumbuhan domestik mantap dan usaha proaktif dalam memanfaatkan kecekapan dan penjimatan untuk melabur dalam jenama.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 6:46am
d