bisnes

Kini tampil lebih moden

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Selepas melalui proses naik taraf dan pertambahan ruang bermula Mac 2017, AEON Taman Maluri kini tampil lebih moden serta berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung dan menjadi hab beli-belah utama di Cheras.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Korporat AEON Co (M) Berhad (AEON), Poh Ying Loo berkata, dengan transformasi dari segi ruang runcit dan saiz, pihaknya menyasarkan peningkatan pengunjung sekitar 40 peratus.

Katanya, lokasi pusat beli-belah itu yang bersambung dengan Stesen MRT Taman Maluri serta berdekatan dengan Stesen LRT Taman Maluri, memberikan prospek cerah dengan unjuran 20 peratus pengunjung adalah daripada pengguna perkhidmatan awam itu.

“Kami yakin dengan pembukaan semula pusat beli-belah yang menggunakan konsep AEON STYLE dan beberapa perubahan seperti Kids Republic, pasar raya dan khidmat pelanggan, ia mampu menjadi daya penarik kepada orang ramai.

“Dengan penampilan terbaharu ini, kami berharap pusat beli-belah AEON Taman Maluri dapat memberi penawaran terbaik sekali gus menjadi gedung tumpuan di Cheras dan kawasan sekitarnya.

“Malah, dengan adanya stesen MRT yang bersambung di tingkat B2 pusat beli-belah itu, ia juga berpotensi untuk menarik pengunjung dari Kajang dan Damansara yang menggunakan tren berkenaan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

AEON Taman Maluri mula beroperasi pada 1989 dan menjadi antara gedung utama bagi penduduk sekitarnya untuk beli-belah sebelum melaksanakan naik taraf pertama pada 2000.

Ia turut membabitkan 80 peratus pengembangan daripada gedung kecil kepada saiz ruang lebih besar dan proses naik taraf itu dilakukan sekali lagi pada 2017 membabitkan dua fasa utama yang siap pada Ogos 2019.

Poh berkata, fasa pertama bagi pusat beli-belah itu membabitkan pembangunan ruang runcit setinggi tujuh tingkat dan fasa kedua adalah proses naik taraf ruang sedia ada.

Menurutnya, ketika ini, lebih 80 peratus ruang runcit AEON Taman Maluri dipenuhi penyewa daripada jenama yang mempunyai rekod prestasi kukuh dan popular.

“Pusat beli-belah berkeluasan 450,000 kaki persegi ini mempunyai pasar raya dan 122 unit kedai yang mana 50 peratus daripadanya adalah segmen makanan dan minuman,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 9:48am
d