bisnes

QSR Brands pertimbang jualan operator makanan segera

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Pemilik QSR Brands (M) Holdings Bhd sedang mempertimbangkan untuk menjual perniagaan operator makanan segera restoran KFC dan Pizza Hut di Asia Tenggara itu selepas menunda tawaran awam permulaan (IPO) pada awal tahun ini.

Individu yang memiliki maklumat mengenai perkara ini berkata, pemegang saham utama syarikat Malaysia itu termasuk firma ekuiti swasta, CVC Capital Partners sedang bekerjasama dengan penasihat bertujuan menilai kepentingan daripada pembeli berpotensi bagi mengawal pegangan dalam QSR.

“Individu tidak mahu dikenali itu menyatakan tawaran itu menilai QSR pada harga RM6 bilion,” lapor Bloomberg.

Individu itu juga berkata, penyokong QSR meminta tawaran tidak terikat yang akan diserahkan pada akhir bulan ini dengan pelabur adalah termasuk Johor Corp dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Pemegang saham memutuskan meneruskan penjualan saham dan bukan menghidupkan kembali penyenaraian berpotensi seperti dirancang sebelum ini selepas pasaran lemah membawa kepada kekurangan IPO di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 9:43am
d