bisnes

Unjur harga tinggi

Oleh Che Wan Badrul Alias

KUALA LUMPUR: Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia menyasarkan harga buah tandan segar sawit (FFB) pada peringkat pekebun akan kekal tinggi dan berlegar di atas paras RM500 satu tan sehingga hujung tahun ini.

Ia adalah lebih tinggi berbanding harganya pada Oktober iaitu antara RM411 hingga RM423 setiap tan, bagi buah gred A.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, lonjakan harga sawit mentah itu memberikan kelegaan kepada masyarakat pekebun kecil dan peneroka Felda, yang umumnya memperoleh peningkatan pendapatan daripada hasil ladang.

Katanya, lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) pasaran global pada RM2,657 satu tan baru-baru ini adalah sangat besar dan tertinggi dalam tempoh dua tahun ekoran berlakunya penyusutan stok.

Keadaan itu memulihkan permintaan dan menolak harga minyak sawit untuk terus naik ke paras tinggi.

Dalam pada itu, pada Rabu lalu, Bohai Commodity Exchange (Boce) Malaysia/Asean dengan Hakan Agro DMCC dari India serta Boce Global dari China memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi penembusan permintaan tambahan pasaran 2.5 juta tan minyak kelapa sawit dari Malaysia ke India dan China.

“Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia memiliki 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mana sebahagian besar daripada pekebun kecil itu mengusahakan perladangan sawit.

“Apabila harga tidak stabil, kesannya dirasai pekebun kecil, bahkan setengah PPK memang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan teras kebun kelapa sawit, menyebabkan pendapatan mereka merosot ketara disebabkan kejatuhan harga minyak sawit sebelum ini.

“Justeru, saya pasti lonjakan harga ini sangat membantu masyarakat pekebun kecil untuk bersedia kepada keperluan tahun depan terutamanya persediaan untuk anak sekolah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tahun 2020 bakal menyajikan cabaran besar kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia yang mengharapkan kestabilan harga komoditi, mengurangkan hutang peneroka dan pekebun kecil selain pengurusan ladang peneroka.

Katanya, usaha mewujudkan kombinasi baik antara pengurusan Felda, pekebun kecil dan masyarakat peneroka sendiri perlu dilakukan bagi membawanya seiring mencapai sasaran meningkatkan pendapatan masyarakat tani di negara ini.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 9:53am
d