bisnes

Tumpu PKS

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) akan memberi tumpuan kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha menyediakan akses pembiayaan yang lebih komprehensif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya memahami keterbatasan PKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan.

“Oleh itu, kami mengambil langkah terbaik untuk lebih dekat dengan PKS melalui strategi digitalisasi.

“Bank Muamalat akan membantu PKS (dari segi pembiayaan) terutama PKS yang dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai,” katanya kepada media pada majlis Kembali Ke Sekolah oleh Bank Muamalat di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Khairul berkata, Bank Muamalat juga akan mencari beberapa rakan kerjasama untuk merealisasikan pelan digitalisasi mereka yang dijangka memberi manfaat kepada segmen PKS.

Selain itu, beliau berkata, bagi hala tuju 2020 pihaknya turut merancang menjenama semula perkhidmatan Ar-Rahnu Bank Muamalat.

“Untuk segmen peruncitan, kami akan membuat penjenamaan semula Ar-Rahnu supaya orang ramai tahu mengenai perkhidmatan pajak gadai Islam ini ada ditawarkan di semua 65 cawangan Bank Muamalat seluruh negara dengan kadar upah simpan yang kompetitif,” katanya.

Sementara itu, menurutnya Bank Muamalat akan terus menganjurkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan memperuntukkan sebanyak RM1 juta membabitkan 40 acara yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Sempena persiapan sesi persekolahan tahun 2020, Bank Muamalat telah mengagihkan barangan keperluan persekolahan serta wang tunai kepada 147 pelajar membabitkan Sekolah Kebangsaan St John 2, Sekolah Kebangsaan Perempuan Jalan Batu, Sekolah Menengah Hillcrest dan Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 8:19am
d