bisnes

14 mainan ikonik

Oleh Hamizah Badiran

SHAH ALAM: Sempena meraikan ulang tahun ke-40 Happy Meal, McDonald’s Malaysia melancarkan edisi terhad Surprise Happy Meal dengan menampilkan 14 mainan ikonik pek makanan paling popular sejak empat dekad lalu.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, Surprise Happy Meal boleh didapati di semua restoran McDonald’s di seluruh negara mulai 28 November ini selagi stok masih ada.

“Kami sangat teruja dapat mengembalikan nostalgia rakyat Malaysia yang membesar dan mengumpul set mainan ikonik Happy Meal seperti Grimace, Hamburglar, Cowboy McNugget, Tamagotchi atau Furby.

“Kanak-kanak dan orang dewasa pasti seronok dengan kemunculan semula mainan dari era 80-an hingga 90-an kerana mereka membesar dengannya.

“Bagi kami, Happy Meal bukan sekadar menu yang ditawarkan tetapi ia menjadi detik keriangan buat seisi keluarga dan mewujudkan hubungan istimewa antara ibu bapa dan anak ketika kotak itu dibuka,” katanya di majlis sambutan ulang tahun ke-40 Happy Meal di sini, semalam.

Sejak ia mula diperkenalkan pada Jun 1979 di Amerika Syarikat, Happy Meal berkembang ke lebih 38,000 restoran di lebih 100 negara di seluruh dunia dengan mainan ikonik kekal sebagai simbol kejutan, keceriaan dan kegembiraan.

Selain itu, McDonald’s juga merapatkan hubungan kekeluargaan menerusi Parties@McD yang menyediakan ruang untuk semua dari pelbagai peringkat umur untuk mengadakan pelbagai sambutan seperti majlis hari lahir atau perjumpaan semula.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 10:01am
d