bisnes

Media Prima kekal sumber kandungan popular

Oleh Bisnes HM

MEDIA Prima Berhad (Media Prima) mengekalkan kedudukan sebagai peneraju sumber kandungan paling popular di Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Mengikut data Comscore, Kumpulan kekal sebagai pilihan utama bagi kandungan mudah alih Malaysia dan pencapaian audiens digital ketiga tertinggi selepas Google dan Facebook.

Portal berita di bawah Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) turut mencatatkan jumlah pelawat tertinggi khususnya portal Harian Metro yang merekodkan pelawat unik tertinggi di Malaysia bagi suku ketiga 2019.

Mengikut data Comscore, myMetro mencapai 13.6 juta pelawat unik dari Julai hingga September 2019 manakala, purata pelawat unik bulanan masing-masing bagi BH Online dan NST Online ialah 4.2 juta dan 2.0 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, prestasi Kumpulan secara keseluruhan terus berdepan dengan cabaran khususnya penurunan dalam perolehan pengiklanan tradisional dan pengedaran.

“Menuju kepada bulan-bulan terakhir 2019, kami akan memacu ke fasa transformasi seterusnya untuk menyesuaikan perniagaan kami dengan perubahan pantas yang berlaku dalam sektor media,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, Kumpulan akan terus berusaha untuk mengekalkan pertumbuhan positif yang telah dicapai oleh inisiatif digital dan perdagangan, serta pada masa sama mengambil langkah-langkah untuk memperkemas kos dan kecekapan operasi.

“Fasa perniagaan seterusnya menyasarkan untuk menyampaikan penyelesaian lebih efektif menerusi semua platform media kami bagi memenuhi permintaan industri media yang berkembang,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2019, perolehan segmen beli-belah di rumah dan digital Kumpulan meningkat sebanyak sembilan peratus manakala, perolehan Kumpulan dicatatkan sebanyak RM801.4 juta.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 7:14pm
d