bisnes

Optimis PKS adaptasi proses pendigitalan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) yakin semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini akan mengadaptasi proses pendigitalan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said berkata, SME Corp sentiasa menggalakkan pendigitalan dalam kalangan PKS untuk terus kekal relevan dalam industri.

“Setiap peringkat PKS mempunyai keperluan tersendiri apabila menyentuh mengenai digitalisasi dan kita lihat PKS juga sudah mula ke arah pendigitalan.

“Kita perlu beri masa kepada PKS dan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi PKS akan beralih ke arah digitalisasi sepenuhnya terutama untuk pembayaran tanpa tunai.

“Pembayaran digital penting kerana ia membantu PKS menyelesaikan masalah bagi merekodkan transaksi kewangan mereka,” katanya pada sidang media pengumuman pemenang Anugerah Enterprise 50 di sini, semalam.

Noor Azmi berkata, digitalisasi sebenarnya membuka peluang baharu kepada PKS dan mereka perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa untuk terus berdaya saing.

Anugerah Enterprise 50 tahun ini menyaksikan 10 pemenang utama yang telah melalui proses penilaian ketat antaranya proses pengurusan, inovasi, strategi pasaran, penggunaan teknologi, hasil eksport, pelaburan modal latihan dan penyelidikan serta adaptasi digitalisasi dalam syarikat masing-masing.

Sehingga kini, sebanyak 2,319 syarikat tercalon untuk anugerah ini di mana 732 daripadanya terpilih sebagai penerima anugerah sejak 1997.

Selain itu, tahun ini sebanyak 11 syarikat milikan wanita telah terpilih di antara penerima Anugerah Enterprise 50 di mana terdapat peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 11:03am
d