bisnes

Empat kali seminggu ke Tokyo Narita

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: AirAsia membuat penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Tokyo Narita, baru-baru ini di mana ia adalah perkhidmatan bagi laluan baharu yang membuktikan komitmen syarikat terbabit untuk mempercepatkan pertumbuhannya di Jepun.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, penerbangan empat kali seminggu itu menawarkan lebih daripada 150,000 tempat duduk tambahan setahun menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

Langkah itu sekali gus membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 serta Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata, penerbangan sulung ke Tokyo Narita itu dilakukan menggunakan pesawat AirAsia A330 yang dilengkapi perkhidmatan AirAsia WiFi bagi membolehkan tetamu melayari video dan berhubung secara langsung di samping mengemas kini laman media sosial mereka dari paras ketinggian 35,000 kaki di awan.

AirAsia kini menawarkan tambang termasuk semua daripada RM539 bagi tempat duduk standard dan RM1,499 bagi tempat duduk Premium Flatbed (khusus kepada ahli AirAsia BIG saja) untuk laluan sehala Kuala Lumpur - Tokyo Narita.

Tawaran itu tersedia bagi tempahan di airasia.com atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia bermula 22 November hingga 24 November ini bagi perjalanan sehingga 28 Mac 2020.

AirAsia X adalah kumpulan syarikat penerbangan terbesar dalam sektor tambang rendah jarak jauh di Jepun dan mengoperasikan hampir 110 penerbangan seminggu termasuk 12 laluan antarabangasa dan domestik ke dan dari Jepun.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 9:01am
d