bisnes

Maksimum pengeluaran nanas MD2

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kulim (Malaysia) Bhd merancang untuk memaksimumkan pengeluaran nanas premium MD2 menerusi kerjasama dengan syarikat swasta yang berpotensi berikutan permintaan hasil pertanian itu terus meningkat naik dalam pasaran tempatan dan global.

Pengarah Eksekutifnya, Zulkifly Zakariah berkata, bagi melaksanakan perkara terbabit, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri di negara ini.

Beliau berkata, secara umumnya, Kulim turut dikenali oleh banyak pihak yang mengetahui syarikat itu terbabit dalam projek penanaman nanas premium MD2 dengan menggunakan jenama Melita menerusi Kulim Pineapple Farm (KPF).

“Prestasi syarikat ini dalam industri nanas MD2 amat memuaskan dan dijangka berkembang dengan meluas pada masa hadapan dengan kerjasama sektor awam atau swasta.

“Langkah ini juga adalah sebagai sebahagian daripada usaha syarikat dalam memantapkan lagi kehadiran dalam industri nanas yang dilihat berpotensi tinggi selain menyahut seruan kerajaan menjadikan industri itu sebagai sumber kekayaan baharu negara,” katanya.

Jumlah keluasan ladang Kulim kini adalah sebanyak 418 hektar yang terletak di Ulu Tiram, Mersing dan Kluang, Johor.

Kulim yang juga anak syarikat kepada Kumpulan Johor Corporation (JCorp) turut menjangka akan menambah keluasan ladangnya secara berperingkat dalam empat tahun akan datang sehingga 983 hektar bermula 2020.

Zulkifly berkata, jualan nanas Kulim pada 2017 adalah sebanyak RM5.76 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM12.18 juta pada Oktober 2019.

“Jumlah eksport nanas MD2 Kulim turut menunjukkan peningkatan dari RM1.37 juta pada 2017 kepada RM1.84 juta pada Oktober 2019.

“Malah, syarikat menggangarkan jualan dan jumlah eksport yang memberansangkan pada tahun depan dengan anggaran jualan sebanyak RM22.9 juta dan eksport sebanyak RM9.59 juta,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 7:00am
d