bisnes

Bantu PKS hadapi Revolusi Industri 4.0

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) membangunkan Platform Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan bagi membantu usahawan berdepan Revolusi Industri 4.0.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, pihaknya sentiasa menyokong PKS untuk mengambil cabaran dan memanfaatkan peluang yang muncul melalui revolusi perindustrian berkenaan.

Katanya, platform dibangunkan MED ketika ini adalah platform bersepadu menggunakan semua data dalam domain awam untuk mencapai akses yang proaktif serta mewujudkan pembiayaan mudah.

“Inisiatif platform inimembantu golongan usahawan kurang mendapat perhatian khususnya mereka yang terdiri daripada komuniti B40,” katanya pada majlis perasmian SME CEO Forum 2019 di sini, semalam.

Mohd Redzuan berkata, ia juga platform pembayaran berpusat ditambah pula dengan skor kredibiliti digital untuk PKS yang membolehkan sokongan dan fasilitasi yang lebih berkesan.

Menurutnya, pihak kementerian juga sentiasa bersedia menyokong PKS dalam menggunakan teknologi canggih merancakkan perniagaan yang dijalankan oleh mereka.

“Ini sebabnya mengapa kami perlu bekerjasama dengan kementerian dan agensi utama yang lain, seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Ia usaha untuk membantu PKS meningkatkan skala operasi melalui penggunaan dan adaptasi pendigitalan serta teknologi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Industri 4.0, katanya, negara mula mengukuhkan kedudukannya pada tempoh Revolusi Perindustrian 3.0.

“Dalam hal ini, Malaysia mula beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada sektor ekonomi yang berlandaskan industri pengilangan dan juga eksport.

“Pelaburan langsung asing (FDI) menjadikan Malaysia sebagai hab kepada sektor pengeluaran berteknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, kemajuan ini dibawa syarikat multinasional asing menggunakan teknologi asing dan dengan Industri 4.0 kita ada peluang untuk kembali meneraju dan memacu agenda kita sendiri,” katanya.

Tambahnya, Industri 4.0 dapat direalisasikan oleh kemajuan dalam pendigitalan di mana idea ini mula dibangkitkan beberapa tahun lalu dan kini ia mula menjadi realiti.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 7:02am
d