bisnes

Untung lumayan guna teknologi dalam pertanian

Oleh hmdigital

PETALING JAYA: Penggunaan teknologi akan menjadikan sektor pertanian negara lebih ‘seksi’ dalam menjana pendapatan yang lumayan, demikian kata bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin.

Justeru, beliau menyeru pengusaha pertanian di negara ini untuk beralih kepada kaedah pertanian ketepatan yang mampu menjana hasil pertanian tinggi di samping menjamin pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, pertanian ketepatan akan meningkatkan hasil pertanian, sekali gus meningkatkan keupayaan dan daya saing pengusaha pertanian di negara ini.

“Dengan menjadikan pertanian ‘seksi’ (dalam erti kata menjana pendapatan yang lumayan), akan menarik ramai orang menceburinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Perbualan Bangunkan Negara bersama Tun Dr Daim Zainuddin dengan tema Kemiskinan di Malaysia: Realiti vs Persepsi yang dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Asli, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Melissa Ong.

Daim juga menggalakkan generasi muda untuk terbabit dalam pertanian terutama dalam tanaman yang boleh menjana hasil dalam tempoh singkat seperti penanaman cili, timun dan kacang bendi.

Beliau berkata, kelapa juga dilihat tanaman masa depan yang berpotensi besar menjana pendapatan lumayan berikutan permintaannya yang tinggi.

Selain itu, Daim juga mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan agensi khas bagi memantau dan menjayakan pengembangan aktiviti pertanian di negara ini.

Beliau berkata, penubuhan agensi khas itu bertujuan memastikan rancangan berkaitan pertanian dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat seperti yang disasarkan.

Katanya, agensi khas pertanian itu akan bertindak sebagai pusat sehenti dalam menyelesaikan isu yang dihadapi pengusaha pertanian seperti tanah, buruh dan pinjaman berkaitan pertanian.

“Saya sudah menulis surat cadangan penubuhan agensi khas ini kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Sama ada suka atau tidak, pertanian akan mewujudkan pekerjaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 7:08am
d