bisnes

PruBSN Aspirasi beri 'kuasa' kepada pelanggan

Oleh Suliati Asri

KUALA LUMPUR: Prudential BSN Takaful (PruBSN) melancarkan PruBSN Aspirasi, pelan simpanan takaful keluarga menggabungkan simpanan, perlindungan hayat serta peluang pelaburan bagi memenuhi matlamat kewangan dan aspirasi pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Nor Azman Zainal berkata, pelan ini diwujudkan hasil daripada kaji selidik yang mendapati masyarakat masih belum bersedia dari segi kewangan untuk memenuhi keperluan masa hadapan mereka.

Katanya, rakyat Malaysia terutama orang dewasa yang bekerja berdepan risiko kewangan berikutan tidak mempunyai tabung untuk menampung keperluan kecemasan mereka, apatah lagi memenuhi keperluan jangka panjang seperti membiayai pendidikan anak dan mengumpul dana persaraan.

“Jika dilihat kepada stastik Bank Negara, hanya 40 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai pelindungan insurans atau takaful.

“Ini membuktikan 60 peratus masyarakat kita masih belum bersedia dari segi kewangan untuk memenuhi keperluan masa depan mereka.

“Justeru, PruBSN Aspirasi ini antara pelan terbaik kerana pelanggan juga boleh menjana aliran pendapatan tambahan serta meningkatkan dana jangka panjang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PruBSN Aspirasi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Saifulrizal berkata, setiap individu mempunyai matlamat kewangan berbeza dan PruBSN mahu pelanggan menentukan bagaimana mereka mahu mencapai aspirasi masing-masing.

“Melalui PruBSN Aspirasi, kami memberi ‘kuasa’ kepada pelanggan untuk memilih tempoh bayaran sumbangan mereka dan bila mereka mahu menerima bayaran tunai sijil,” katanya.

Produk ini membolehkan pelanggan memilih tempoh perlindungan 15, 20, 25 atau 30 tahun dan tempoh pembayaran sumbangan lima, 10 atau 20 tahun.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 8:23am
d