bisnes

Trend pembelian rumah positif

Oleh hmdigital

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah di Malaysia diunjurkan akan kembali pulih mulai tahun hadapan bersandarkan kepada trend semasa yang positif dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur hartanah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Soma Sundram Krishnasamy berkata, meskipun peningkatan terbabit dilihat pada kadar yang perlahan, namun ia memberi isyarat pasaran hartanah akan menjadi lebih baik pada 2020.

Katanya, antara 2021 hingga 2022, ia akan menjadi tempoh di mana sektor hartanah berada pada kemuncak pemulihannya dan kembali merangsang industri itu.

“Mungkin ramai yang tidak menyedari pasaran hartanah mulai merudum pada 2012 dan ia kembali menunjukkan tindak balas yang semakin baik pada 2018.

“Seperti yang kita dapat lihat, separuh pertama tahun ini, sektor ini turut menunjukan prestasi yang begitu baik dan ia akan secara perlahan merekodkan pertumbuhan positif.

“Tahun depan kita dapat saksikan dunia hartanah tempatan akan terus naik dan ia akan terus diikuti tahun seterusnya antara 2021 hingga 2022,” katanya ketika ditemui selepas Forum Tinjauan PropertyGuru 2020.

Hadir sama, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Soma berkata, antara faktor pemangkin dalam merangsang kembali sektor hartanah negara adalah pemulihan terhadap keyakinan dalam kalangan pembeli rumah dan pelabur hartanah.

Menurutnya, sebelum ini orang ramai mengambil langkah tunggu dan lihat khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 10:43am
d