bisnes

Pasaran saham dijangka kukuh

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek mega dan kestabilan politik pada tahun depan dilihat mampu untuk merangsang prestasi pasaran saham dan mengukuhkan mata wang ringgit.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mengenai prestasi ekonomi Malaysia itu, pihaknya mengunjurkan indeks petunjuk Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada tahun depan akan didagangkan pada paras 1,650.

Beliau berkata, sektor minyak dan gas (O&G), elektrik dan elektronik (E&E) dan pembinaan akan menjadi penyumbang kepada pengukuhan indeks berkenaan.

“Manakala sektor perbankan mungkin mengheret turun prestasi FBM KLCI kerana kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada tahun depan.

“Pengurangan ini akan mempengaruhi margin faedah bersih (NIM) bank yang mana ketika ini sektor perbankan mewakili satu pertiga daripada 30 syarikat dalam FBM KLCI dan ini mampu memberi kesan terhadap indeks terbabit,” katanya pada taklimat tinjauan ekonomi 2020 Bank Islam di sini, semalam.

Selain itu, pihaknya mengunjurkan ringgit akan diniagakan di antara RM4.20 dan RM4.30 berbanding dolar AS pada tahun depan manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar 4.3 peratus.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, Malaysia turut mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mempertahankan ekonominya daripada terkena tempias kemelesetan yang berkemungkinan melanda Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2021.

Kemungkinan itu adalah berdasarkan keluk hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang menyongsang di antara Mei dan Oktober tahun ini di mana ia dianggap sebagai petunjuk kemelesetan sedang menghampiri ekonomi AS.

Menurutnya, Malaysia mempunyai pengalaman menghadapi beberapa kemelesetan pada masa lalu dan kebiasaannya barisan pertama pertahanan ialah pada dasar monetari.

Katanya, bank pusat ketika ini mempunyai kapasiti meluas untuk melakukan pemotongan kadar faedah sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Dari segi dasar fiskal, melihat kepada sebaran luas Swap Mungkir Kredit (CDS), saya fikir kerajaan mampu meningkatkan perbelanjaan. Langkah lain yang boleh diambil ialah mengurangkan kadar sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 11:03am
d