bisnes

Langkah awal

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

ANAK syarikat Magicboo Beauty, My Beaute Village yakin pembukaan cawangan kelimanya di pusat beli-belah Toppen akan dapat menarik pelanggan dalam kalangan rakyat Singapura untuk berbelanja di situ.

Ketua Pegawai Eksekutif My Beaute Village, Winson Chang King Seong berkata, pembukaan cawangan baharu dan satu-satunya di Johor dilihat sebagai langkah awal syarikat itu melebarkan sayap perniagaan ke pasaran luar negara bermula di republik itu.

“Kita memang mempunyai perancangan jangka panjang untuk memperluaskan My Beaute Village ke pasaran luar dan Singapura adalah negara jiran pertama yang kita sasarkan mungkin dalam masa setahun lagi.

“Kita tahu rakyat Singapura ramai yang berkunjung ke Johor Bahru dan pemilihan Toppen sebagai cawangan baharu menguatkan keyakinan untuk melaksanakan hasrat perancangan jangka panjang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Rasmi cawangan My Beaute Village di pusat beli-belah Toppen, semalam.

Hadir dijemput merasmikan pembukaan cawangan baharu itu adalah penyanyi tanah air, Masya Masyitah.

My Beaute Village di Toppen adalah cawangan kelima selepas pembukaan pertamanya bermula Disember 2018 di EKO Cheras Mall Kuala Lumpur dan dalam masa tiga bulan, empat cawangan lain berjaya dibuka di IOI Mall Puchong, Aeon Mall Klebang Ipoh, Vivacity Megamall Kuching dan Toppen sendiri.

Chang berkata, pihaknya akan membuka lapan lagi cawangan di seluruh negara yang akan ditempatkan di pusat beli-belah utama di seluruh negara yang dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2020.

Beliau berkata, pihaknya optimis untuk membawa produk yang organik dan semula jadi, berkualiti tinggi yang ada di kawasan luar bandar Eropah utara kepada pelanggan mereka.

“Kita menawarkan lebih 1,000 produk dari penjagaan kecantikan dan kesihatan muka, kulit serta rambut kepada keperluan rumah.”Semua produk ini diimport dari negara Eropah seperti United Kingdom (UK) , Itali, Sepanyol, Denmark, Perancis, Poland, Australia dan 20 peratus lagi produk diimport dari Korea.

“Antara jenama yang dijual seperti Creightons dan Truzone dari UK, Echosline, Bionsen dan Kaypro (Itali), Naturalium dan Lagarto (Sepanyol), Green Pharmacy dan Hello Nature (Eropah), Eco Clean (Denmark), Rebirth dan Enya (Australia), Skindom dan Esfolio (Korea)“Semua jenama ini hanya boleh didapati secara eksklusif di My Beaute Village,” katanya.

Produk di My Beaute Village adalah standard antarabangsa dan dikenali di seluruh dunia, namun boleh diperoleh dengan harga berpatutan dan lebih banyak produk dirancang akan dibawa masuk My Beaute Village buat pelanggan mereka.

Pada masa sama, pelbagai promosi dan hadiah percuma ditawarkan My Beaute Village sempena pembukaan cawangan baharunya di Toppen itu sehingga 31 Disember ini.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 7:48am
d