bisnes

Tawar platform maju industri

Oleh Nabil Basaruddin

MAXIS Bhd (Maxis) menerusi program Maxis Market Access Day menawarkan platform bagi syarikat pemula teknologi yang berminat untuk meluaskan perniagaan dengan menembusi pasaran di negara ini.

Ketua Pegawai Digital dan Transformasi Maxis, Rob Sewell berkata, program terbabit disertai 100 syarikat pemula yang tampil dengan pelbagai idea perniagaan yang unik, kreatif dan berteknologi.

Beliau berkata, peserta hanya diberikan tempoh lima minit untuk membentangkan model perniagaan mereka bagi meraih peluang yang bakal memberi perubahan besar dalam dunia bisnes.

“Peserta yang terdiri daripada syarikat pemula ini akan membentangkan idea mereka kepada 70 syarikat terkemuka di Malaysia dan pelabur pada program yang dijalankan ini.

“Antara syarikat korporat yang hadir pada sesi pitching ini termasuklah AirAsia, EY, Golden Gate Ventures dan Astro.

“Kami mempunyai matlamat yang besar untuk Maxis Market Access Day iatu untuk menghubungkan perniagaan yang ingin berkembang dan menerajui industri,” katanya, semalam.

Rob berkata, pihaknya teruja dengan sambutan diberikan peserta yang menunjukkan pemikiran bersama dalam mempercepatkan transformasi inovasi dan digital.

“Ini adalah platform yang membawa pakar inovasi dalam teknologi yang semakin meluas dalam kehidupan kita, daripada analisis data raya, teknologi kewangan kepada teknologi hartanah, e-dagang dan runcit serta Internet Benda (IoT).

“Kami berharap program ini dapat mencetuskan perkongsian baharu untuk membentuk sesuatu yang hebat,” katanya.

Antara 100 peserta yang hadir termasuklah syarikat pemula Pre-Series A, RED ANGPOW, TIDE, BORONG dan Giftee.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 12:43pm
d